Loading...
Haiwan Kesayangan

9 Fakta Menarik Burung Baji

Burung baji boleh dikatakan antara sub-spesis burung kakak tua paling popular di seluruh dunia. Mereka menjadi kegilaan pencinta haiwan kerana bukan sahaja warna mereka yang menarik dan kos penjagaan mereka yang rendah, malah jika dilatih dengan baik, mereka mampu mengajuk percakapan manusia. Comel kan?

Terdapat banyak fakta menarik mengenai haiwan pintar ini. Hari ini kami kongsikan 9 dari fakta itu. Dah sedia? Jom kita tengok !

1. Seperti spesis burung kakaktua yang lain, burung baji mempunyai empat jari kaki; dua menghala ke depan badannya dan dua ke belakang. Kebanyakan spesis burung lain mempunyai jari dengan pola yang lain; tiga menghala ke depan dan satu ke belakang. Keadaan jari kaki mereka ini sangat memudahkan mereka mereka mengimbangi badan ketika mencengkam dahan.

2. Baji adalah burung peliharaan paling popular di dunia, terutamanya di Amerika. Dianggarkan 45% dari burung peliharaan isirumah negara itu adalah burung baji. Malahan di tempat lain pun, burung baji menjadi pilihan ramai kerana ianya mudah dijinakkan, sesuai untuk golongan yang baru mula mendekati  spesis burung ini.

3.  Amat mudah untuk mengetahui jantina burung baji dewasa – dengan hanya melihat ‘cere’ diatas paruh mereka. ‘Cere’ yang berasal dari perkataan Latin adalah satu ciri fizikal berbentuk benjolan kecil yang terletak diatas paruh burung baji. Baji jantan mempunyai ‘cere’ berwarna biru terang atau ungu manakala baji betina mempunyai ‘cere’ berwarna coklat. Semasa kecil, warna ‘cere’ adalah biru muda atau merah jambu.

4. Burung baji adalah haiwan yang sangat suka melakukan aktiviti harian mereka secara berkumpulan. Mereka memerlukan kita sebagai penjaga untuk berkomunikasi / bercakap dengan mereka secara kerap. Dengan cara ini, burung baji akan merasakan bahawa mereka mendapat perhatian dan kasih sayang dari manusia.

5. Walaupun terdapat pelbagai variasi warna burung baji pada masa kini, warna asal mereka hanyalah hijau. Selain hijau, burung baji biasanya dikacukkan atau dimutasi warna mereka untuk tujuan komersil. Jadi, jangan hairan jika anda hanya menjumpai burung baji bewarna hijau di habitat asal.

6. Kebolehan burung baji untuk bertutur adalah bergantung kepada latihan dan kebolehan mereka sendiri. Jadi jangan panik sekiranya anda perlu mengambil masa yang lebih panjang untuk melatih mereka. Yang penting, usaha yang berterusan.

7. Burung baji yang boleh becakap secara relatifnya tidak mengetahui maksud percakapan mereka, tetapi mereka mampu mengajuk perkataan dan nada yang diajarkan kepada mereka.

8. Burung baji mempunyai kelopak mata ketiga, yang jarang dapat dilihat. Kelopak mata ini berfungsi sebagi pelicir untuk memastikan mata burung baji sentiasa bersih dan elok.

9. Terdapat dua jenis baka burung baji. Perbezaan antara dua baka ini adalah dari mana mereka berasal. Satu dari England dan satu lagi dari Australia. Baka dari England biasanya lebih besar beberapa inci berbanding baka dari Australia.

Burung kecil dan comel ini ternyata banyak keistimewannya. Mereka menghiburkan, boleh menjadi peneman dan inspirasi kepada kita sebagai penjaga kerana kecerdikan mereka. Dalam artikel seterusnya, kami akan kongsikan cara penjagaan dan tips-tips diet burung baji ini. Nantikan ye.

SHARE artikel ini dengan peminat burung baji untuk manfaat bersama.

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1