Loading...
Tips Penjagaan

Panduan Diet Si Comel Tikus Belanda

Tikus belanda – si comel yang penuh dengan tenaga dan keseronokan. Jika dijaga dengan baik, mereka  dapat hidup sehingga mencecah usia sepuluh tahun .

Memastikan tikus belanda anda mendapatkan semua nutrien yang betul, vitamin dan serat adalah penting untuk kesejahteraan mereka secara menyeluruh. Ramai yang bertanggapan bahawa dengan memasukkan muesli sahaja dalam diet tikus belanda ini sudah cukup untuk keperluan nutrisi lengkap mereka,  tetapi sebenarnya tidak.  Jom lihat jenis-jenis makanan yang kami syorkan untuk mengoptimumkan kesihatan si manja anda.

 Hay dan rumput segar

  • Si comel ini memerlukan bekalan hay dan rumput segar yang cukup sepanjang masa. Ini penting kerana dengan mengunyah hay atau rumput, sistem pencernaan dapat berfungsi dengan baik dan gigi mereka akan menjadi kuat.
Rumput yang segar- pastikan cukup setiap hari.

Sayur-sayuran segar

  • Beri mereka sayuran hijau segar setiap hari . Contoh sayur yang boleh diberikan ialah ubi bit merah (beetroot – bukan daun atau tangkainya) , brokoli, kubis ( merah & hijau) lobak merah , bunga kubis, jagung , timun, kale, kacang peas , bayam dan sebagainya.
Nyum nyum nyum.. sayuran segar setiap hari untuk keperluan kesihatan mereka.

Pellet atau nugget khas

  • Beri mereka pellet atau nugget yang dirumus khas untuk mereka . Ikut sukatan seperti yang syorkan di bungkusan . Pellet dan nugget khas ini kebanyakannya mengandungi vitamin yang banyak yang diperlukan oleh tikus belanda.

 Buah-buahan

  • Buah-buahan boleh diberikan dalam kuantiti yang sedikit sebagai snek. Kami tidak menggalakkan pemberian buah-buahan dengan kerap kerana kandungan gula dalam buah-buahan adalah tinggi dan boleh mengundang risiko penyakit kepada tikus belanda anda. Antara jenis buah-buahan yang boleh diberi adalah epal, pisang , limau gedang, anggur tanpa biji, strawberi, buah kiwi , semua jenis melon, limau dan pir.
Buah-buahan sebagai snek dalam jumlah yang sedikit.

Vitamin C

  • Tikus belanda tidak mampu menghasilkan vitamin C dengan sendirinya, jadi pastikan mereka mendapat sumber vitamin C secukupnya dari makanan segar mahupun makanan tambahan. Sumber vitamin C dari makanan segar adalah seperti dari lada benggala, tomato, bayam ,asparagus, brokoli dan sayuran berdaun hijau. Banyak kedai haiwan peliharaan menjual vitamin C dalam bentuk cecair untuk dicampurkan dalam air minuman mereka. Jangan berlebihan, kerana vitamin C yang berlebihan dalam badan mereka akan dikeluarkan semula dalam bentuk air kencing tanpa diserap oleh badan mereka.

Snek

  • Kebanyakan snek yang dijual di kedai haiwan peliharaan yang sangat bagus  untuk menguatkan gigi dan sistem pencernaan tikus belanda. Walau bagaimanapun,  elakkan sebarang  snek yang mengandungi gula dan madu  kerana ia boleh menyebabkan masalah diabetes dan gigi menjadi buruk.
Sedapnya makan sayur ye sayang !

Bekalan Air Segar

  • Pastikan kandungan air dalam botol minuman si kecil ini ditukar setiap hari untuk memastikan air sentiasa bersih, segar dan bebas dari kuman dan ancaman bakteria jahat. Bersihkan botol minuman ini secara berkala. Lazimnya tikus belanda akan minum 100 – 200 ml air untuk setiap kg berat badan mereka. Sekiranya mereka kurang minum atau minum secara berlebihan, periksa tahap kesihatan mereka di veterinar yang berdekatan.

Adakalanya dan menjadi kebiasaan, tikus belanda akan makan najis mereka sendiri. Walaupun kelihatan pelik pada mulanya, anda akan menjadi biasa lama-kelamaan. Kenapa mereka makan najis sendiri? Najis yang sedikit lembut berbanding biasa dipanggil ‘caecaotrophs’, ianya penuh dengan nutrisi dan serat yang diperlukan oleh tikus belanda.

JAUHKAN MEREKA DARI TUMBUHAN BERBAHAYA !

Bunga Bluebell
Crocus

 “Terdapat banyak pokok bunga yang menjadi racun kepada tikus belanda. Saranan kami, jauhkan mereka dari sebarang jenis pokok bunga walaupun sebagai hiasan dalam sangkar mereka.”

Penjagaan diet yang baik membolehkan tikus belanda hidup sihat dan berumur panjang . Mereka adalah jenis haiwan yang suka hidup secara koloni, jadi pastikan mereka mempunyai teman dari kalangan tikus belanda juga ya. Apabila kesihatan dan kebajikan tikus anda terjaga, hasilnya sangat memuaskan hati. Mereka akan menjadi peneman dan penghibur anda sekeluarga.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk diaplikasikan dalam penjagaan si comel ini. Jangan lupa klik LIKE dan SHARE untuk maklumat dan manfaat bersama. Jumpa lagi !

Sumber gambar : Pinterest

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1