Loading...
Gaya Hidup

Haiwan Kesayangan di Zaman Moden

Sebagai pemilik dan pencinta haiwan peliharaan yang dilahirkan pada zaman sekarang, sudah semestinya kita semua berasa amat bersyukur dengan kemudahan perubatan dan kesedaran tentang kepentingan dan kebajikan haiwan peliharaan. Jika kita hendak membandingkan semula nasib-nasib haiwan peliharaan pada zaman sekarang, haiwan-haiwan terdahulu lebih terdedah kepada penyakit yang tiada penawar, kesedaran tentang menjaga kebajikan mereka yang rendah, dan kurangnya ilmu tentang  haiwan peliharaan yang mendorong kepada penderaan dan terhasilnya kuantiti haiwan-haiwan baru yang banyak yang juga boleh menyebabkan kepada kematian kerana kekurangan nutrisi dan penjagaan yang tidak tepat.

Mari kita lihat dari konteks kesihatan, iaitu vaksin, perkara paling asas dan wajib diketahui semua pemilik haiwan. Vaksin perlu untuk merangsang sistem immuniti haiwan peliharaan kita untuk melawan segala jenis penyakit. Secara lazimnya, klinik-klinik haiwan tempatan menawarkan vaksin asas 3-in-1 yang dapat melindungi daripada penyakit Feline Panleukopenia Virus (FPV), Feline Herpes Virus, dan Feline Calicivirus (bergantung pada klinik). Kemajuan dalam dunia perubatan veterinari sedikit sebanyak memberi impak yang besar kepada masa depan haiwan-haiwan peliharaan kita.

Dengan adanya kemudahan-kemudahan dan ubat-ubatan serta teknologi yang terbaru, tidak hairan bagi pengamal-pengamal perubatan veterinar untuk mengenal pasti segala jenis penyakit yang dialami oleh haiwan-haiwan peiharaan kita dengan masa yang singkat, disertai dengan proses pemulihan yang berkesan.

Dari segi kos, pemilik boleh memilih sama ada hendak menerima rawatan dari klinik kerajaan untuk harga yang lebih rendah atau swasta. Jika hendak dibandingkan dengan kos rawatan veterinar pada tahun-tahun dahulu, tidak dinafikan ia adalah agak tinggi. Itu mungkin menjadi salah satu sebab banyak haiwan-haiwan tidak divaksin dan senang terkena jangkitan. Jika kita lihat pada contoh negara Singapura, kebanyakan kucing-kucing jalanan mereka pun telah divaksin dan dimandulkan kerana itu merupakan antara undang-undang asas untuk membela kucing di negara kecil tersebut, bagi mengelakkan mereka dari terus membiak dengan kuantiti yang sangat banyak dan juga untuk menjaga kesihatan mereka. Jika anda perasan, kucing-kucing yang telah divaksin/sunat akan dipotong sedikit telinga kirinya ketika proses tersebut bagi menandakan bahawa kucing tersebut telah menerima rawatan kasi.

Penduduk di negara tersebut juga digalakkan untuk menyerah mana-mana kucing terbiar yang masih lagi belum divaksin untuk menerima rawatan yang disebutkan diatas.

Kehadiran badan-badan kebajikan atau NGO di negara kita sekarang seperti MIAR Shelter, PAWS Animal Welfare Society, Second Chance Animal Shelter Malaysia, telah memberi peluang baru bagi haiwan-haiwan jalanan untuk memiliki hidup yang lebih baik. Badan-badan kebajikan ini mempunyai visi yang sama, iaitu untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan dan yang terbiar dengan memberi seberapa banyak info tentang pentingnya sifat kasih dan kebajikan pada haiwan, bagaimana bertoleransi dengan mereka, dan banyak lagi niat-niat baik yang lain, melalui medium yang berbeza seperti mengadakan karnival, pengiklanan penyiaran dan percetakan.

Sebahagian daripada mereka juga aktif turun padang untuk menyelamatkan haiwan-haiwan jalanan dari terus terbiar dan terkena jangkitan, menempatkan mereka ke tempat tinggal yang selesa, rawatan, dan juga makanan yang secukupnya. Adalah disarankan kepada semua pencinta haiwan untuk menyertai sebahagian dari aktiviti-aktiviti amal yang dianjurkan oleh badan-badan kebajikan ini untuk menunjukkan sokongan kepada aktiviti murni mereka. Sejujurnya, kebanyakan badan-badan kebajikan di seluruh dunia amat menghargai sebarang bantuan dari masyarakat bagi memudahkan kerja-kerja mereka mempromosikan kepentingan menjaga kebajikan haiwan. Kehadiran mereka di dunia moden kini sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat tentang pentingnya penjagaan haiwan yang sebetulnya.

Sebagai sokongan pada point di atas, semakin banyak kedai-kedai haiwan peliharaan dapat kita lihat dalam pasaran hari ini, mengukuhkan lagi pendapat bahawa haiwan-haiwan peliharaan semakin diterima untuk menjadi sebahagian dari hidup manusia. Pasaran haiwan peliharaan terus tumbuh sebagai hasil aliran produk baru dan inovatif yang berterusan, populasi haiwan yang semakin tua, dan penerimaan manusia dalam menerima peranan mereka sebagai ahli keluarga. Pemilik  mempunyai kelebihan untuk memilih kedai mana yang menawarkan harga yang paling berpatutan untuk sumber makanan haiwan peliharaan mereka. Pemilik juga dapat mencari sumber ubat-ubatan, tempat tidur yang selesa, dan juga alat permainan untuk haiwan kesayangan mereka di dalam satu tempat yang sama. Sesetengah kedai juga menawarkan servis penjagaan haiwan peliharaan sekiranya pemilik hendak bercuti atau lebih dikenali dengan terma ‘boarding’.

Di samping itu, pelbagai jenis makanan berdasarkan diet tertentu juga berjaya dihasilkan dengan adanya teknologi yang moden. Jenama seperti Hill’s Science Plan menawarkan pelbagai jenis makanan untuk kucing dan anjing berdasarkan diet mereka masing-masing. Penyakit lazim di kalangan kucing contohnya diabetes, berat badan yang berlebihan, atau penyakit berkaitan dengan mulut memerlukan diet yang istimewa. Inovatif seperti ini memberi pemilik peluang yang banyak untuk pemilik memberi yang terbaik kepada haiwan peliharaan mereka. Haiwan yang tua juga memerlukan diet yang sesuai. Terdapat banyak jenama di luar sana yang menawarkan produk yang sama. Sila dapatkan nasihat pakar terlebih dahulu sebelum anda memberi haiwan kesayangan dengan diet-diet yang berkemungkinan tidak sesuai dengan keadaan kesihatan mereka.

Kewujudan Hari Kucing Sedunia yang disambut pada 8 Ogos setiap tahun menunjukkan peningkatan minat dan perhatian manusia terhadap haiwan comel ini. Selain daripada itu, semakin banyak karnival, hari terbuka, dan pertandingan yang melibatkan haiwan-haiwan peliharaan mendapat tempat di negara kita, membuktikan bahawa haiwan peliharaan semakin diterima di kalangan manusia. Pemilik tidak lagi rasa terbeban menjaga haiwan kesayangan mereka dan lebih bersifat terbuka untuk membawa mereka berjalan-jalan dan berhibur.

Informasi tentang penjagaan dan kebajikan haiwan peliharaan adalah amat penting bagi mengenal pasti sekiranya ada sesuatu yang tidak kena pada haiwan kesayangan kita. Simpan nombor telefon hospital atau klinik haiwan sekiranya berlaku sebarang kecemasan bagi memudahkan kerja anda.  Kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa teknologi yang moden telah memberi banyak kemudahan kepada kedua-dua manusia dan haiwan. Seperti mana kita mahu yang terbaik pada ahli keluarga kita, perkara yang sama perlu diimplementasikan kepada haiwan peliharaan kita.

Gunakan segala kemudahan dan teknologi zaman sekarang untuk memberi yang terbaik kepada haiwan kesayangan kita kerana mereka tidak mempunyai suara untuk memberitahu kita sekiranya mereka sedang dalam kesakitan atau kesusahan. Jadilah pemilik yang bertanggungjawab.

Like dan SHARE artikel ini untuk manfaat bersama ye. Nantikan artikel terbaru dari kami setiap hari. 😀

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1