Loading...
Gaya Hidup

Haiwan Peliharaan Pengganti Hiburan

Memiliki haiwan peliharaan sememangnya telah terbukti dapat menurunkan kadar stress seseorang. Haiwan seperti kucing, anjing, hamster dan iguana, adalah empat contoh popular haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai.

Ada sebab mengapa setengah orang memilih untuk membela haiwan peliharaan dan menjadikan ia sebahagian dari kehidupan, malahan ada juga yang menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri. Tapi tak semua itu boleh menjadi penjaga yang baik. Belajarlah serba sedikit mengenai ilmu dan cara penjagaan haiwan yang betul agar kebajikan mereka terjaga dengan sempurna.

“Bentuk hiburan untuk manusia adalah pelbagai dan kompleks. Ada yang menggemari muzik dan aktiviti-aktiviti liburan seperti lepak, bercuti, menari dan sebagainya. Ada juga yang mendapati bersantai dan melihat laut sebagai hiburan. Menari dalam hujan, melihat gerombolan awan di waktu matahari terbenam-semuanya bentuk hiburan yang ditafsir secara berbeza mengikut kesukaan individu.”

 Bagi pencinta haiwan, haiwan peliharaan merekalah sumber hiburan mereka. Siapa tidak suka dan geram apabila disambut oleh haiwan-haiwan peliharaan yang comel dan suka bergolek-golek di depan muka pintu ketika balik dari kerja? Ini akan sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati si pemilik, dan secara langsung menggembirakan mereka. Beberapa minit mengusap kepala seekor kucing dapat meningkatan produksi hormon serotonin dan oxytocin, dua hormon kimia yang meningkatkan rasa relaks dan tenteram kepada pemilik. Selain daripada itu, mengusap-usap mereka juga dapat merendahkan hormon kortisol, hormon utama yang menyebabkan stress kepada manusia. Tak rugi kan bermanja dengan kucing-kucing kita?

Ada juga pemilik memilih untuk menyertai pertandingan dan kelas-kelas latihan ( kebanyaannya adalah untuk anjing) untuk haiwan peliharaan mereka sebagai salah satu cara mereka untuk berinteraksi dengan lebih baik dan untuk mengisi masa lapang mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat memperbaiki hubungan di antara pemilik dengan haiwan kesayangan mereka.

Semestinya haiwan seperti anjing sukakan aktiviti-aktiviti luar. Dengan membawa mereka berjalan, bermain, atau menyertai pertandingan, sedikit sebanyak dapat membuatkan kita lebih bersosial dengan pemilik-pemilik haiwan yang lain. Banyak info dapat dikongsi dan ditukar. Bagi pemilik kucing, kita semua tahu yang tidak semua jenis kucing sukakan aktiviti luar. Kebanyakan lebih sukakan aktiviti bermain di dalam rumah.

“Sekali sekala, bawalah kucing in-door anda pergi bersiar-siar di taman yang selamat untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar.”

Semakin menjadi trend sekarang, banyak kafe mesra haiwan ditawarkan untuk pilihan para pencinta haiwan. Kafe seperti Si Tompok Kafe, Catsignature Café and Studio, Purradise Cat Café, adalah sebahagian dari contoh kafe yang wajib dikunjungi para pencinta haiwan. Dengan cara ini, mereka memberi peluang kepada pencinta kucing untuk datang menghiburkan hati sambil melepak dan bermain dengan kucing-kucing di dalam kafe tersebut. Rasanya, tidak semua pencinta haiwan berkesempatan untuk membela kucing atau haiwan-haiwan peliharaan yang lain kerana beberapa faktor seperti masa, tiada keyakinan untuk menjaga, dan faktor kewangan. Ada juga yang tidak dapat membela kerana ada ahli keluarga lain yang alergi dengan haiwan-haiwan tersebut dan sebagainya. Dengan adanya kafe-kafe seperti ini, para pencinta haiwan berpeluang menghiburkan hati masing-masing tanpa perlu memikirkan tentang komitmen yang lain. Sesetengah kafe hanya menawarkan servis minuman kerana bau makanan boleh menarik minat kucing-kucing yang berada di dalam kafe tersebut.

Di luar negara, masyarakat di sana lebih terbuka dengan konsep membela haiwan peliharaan. Pemilik di sana lebih komited dan menghargai kehadiran haiwan-haiwan peliharaan mereka, mungkin kerana pendedahan yang secukupnya telah diberikan sejak mereka kecil.

Seperti yang kita tahu, tekanan hidup di sesetengah negara luar adalah lebih ekstrim dari negara kita. Kehadiran haiwan-haiwan peliharaan di rumah sudah cukup untuk membuatkan mereka lebih relaks selepas waktu kerja. Ada yang lebih selesa untuk balik ke rumah dan menonton TV bersama anjing dan kucing peliharaan mereka daripada pergi melepak dan minum bersama rakan-rakan yang lain. Itulah hiburan bagi mereka.

“Beberapa minit bermain-main dengan haiwan peliharaan masing-masing sudah cukup untuk membuatkan para pemilik tersenyum gembira sebagai tanda mereka terhibur dengan kehadiran dan gelagat haiwan peliharaan mereka.”

Di sinilah fungsi haiwan peliharaan sangat penting sebagai peneman dan penghibur hati. Peranan haiwan peliharaan ternyata bukanlah terhenti pada kerja-kerja pencarian dan kerja untuk melindungi.

Memiliki haiwan peliharaan juga dapat membuatkan kita kekal sihat, ini kerana ianya ada hubungan yang baik bagi menurunkan faktor-faktor penyakit kardiovaskular, contohnya seperti tekanan darah rendah, kolestrol rendah, dan mengurangkan kemungkinannya mengalami penyakit obesiti. Jadi, rajin-rajinlah bermain-main dan bergerak dengan si comel kesayangan anda sebagai pengganti aktiviti lain di masa lapang. Ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada haiwan peliharaan tersebut, malah lebih manfaat dapat dirasakan oleh kita sebagai penjaga haiwan berkenaan.

Ternyata, haiwan kesayangan bukan sahaja dapat menjadi peneman yang menghiburkan, mereka jugalah sahabat baik kita yang selalu memahami dan setia bersama kita. Jadi tidak hairanlah lebih ramai manusia gemar menghabiskan masa bersama mereka berbanding sesama manusia.Apa jua pilihan anda sebagai teman, jangan lupakan si comel yang selalu ada sepanjang masa.

Kami akan kongsikan lebih banyak artikel menarik nanti. Jangan lupa SHARE kepada semua !

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1