Loading...
Gaya Hidup

Kelebihan Anak-Anak Membesar Dengan Haiwan Kesayangan

Selain dari mencipta memori indah, memiliki haiwan kesayangan di dalam rumah sebenarnya mempunyai impak yang luar biasa kepada perkembangan emosi dan juga kesihatan fizikal anak-anak. Pelbagai kajian menunjukkan kepada kesan positif haiwan kesayangan kepada anak-anak kita.

“Sebuah kajian dalam ‘Journal of Pediatrics’  menunjukkan bayi yang berusia setahun dengan anjing sebagai kawan baik mempunyai sistem imunisasi yang lebih tinggi; dan 31% kurang masalah respirasi berbanding bayi yang tidak memiliki haiwan peliharaan.”

Anak-anak mudah teruja dengan idea untuk memiliki si comel sebagai teman. Namun sebagai ibubapa, tanggungjawab mewujudkan kesedaran tentang penjagaan dan pemilikan yang betul kepada anak-anak adalah sangat penting supaya pengalaman ini dapat menghasilkan kesan dan impak positif kepada anak-anak. Mulai dengan langkah-langkah mudah sehinggalah ke peringkat mereka mampu memikul sepenuh tanggungjawab menjaga kebajikan haiwan kesayangan dengan sebaiknya.

Kami kongsikan dengan anda kesan positif anak-anak membesar dengan haiwan kesayangan. Kesan ini dapat dilihat seawal mereka ‘bonding’ dengan si manja mereka. Jom tengok kesan positif ini dari beberapa aspek yang berbeza.

PENGETAHUAN DAN PENGALAMAN

  • Disamping menjadikan haiwan kesayangan sebagai sahabat baik, kanak-kanak akan belajar sesuatu mengenai haiwan berkenaan. Mereka pasti mahu berikan yang terbaik untuk si comel bukan? Jadi mereka juga akan belajar tentang persekitaran yang sesuai, pemakanan, kesukaan dan sebagainya.
  • Pengurusan haiwan ini juga mendedahkan anak-anak kepada pengalaman baru setiap hari. Mereka akan lebih mahir untuk menguruskan sesuatu dan menyelesaikan masalah. Mereka belajar mencari penyelesaian terbaik untuk setiap masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
  • Si manja yang mempunyai haiwan peliharaan akan mula meminati lebih mendalam tentang haiwan tersebut.
    Bawa si manja bersama apabila berjumpa doktor haiwan supaya dia lebih mengetahui perkembangan haiwan peliharannya. Langkah ini bagus untuk mendedahkan anak anda kepada ilmu dan pengalaman baru.
  • Apabila mempunyai haiwan kesayangan sebagai peneman, anak-anak tidak akan berdiam diri jika kesayangan mereka mempunyai kesulitan atau cabaran dalam aktiviti harian. Proses ini akhirnya akan meningkatkan kemahiran mereka menguruskan sesuatu dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan.

EMOSI

  •  Si manja akan belajar cara untuk menghormati dan peka akan keperluan orang lain dan tidak akan terlalu mementingkan diri. Sikap tidak mementingkan diri sendiri adalah penting kerana si manja akan belajar untuk menjaga dan menyayangi haiwan kesayangannya juga.
  • Dengan memeluk dan bermain dengan si manja, kadar stress anak-anak dapat  dikurangkan secara tidak langsung. Senyuman riang dapat menghasilkan hormon endorphin, jadi anak-anak akan merasa lebih gembira. Pasti berseri-seri rumah dengan gelagat lucu dan tawa riang si manja bersama kesayangannya.
  • Si kecil dapat berkongsi kasih sayang dengan haiwan kesayangan, dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan. Mereka belajar untuk menyayangi sesama makhluk tanpa batasan dan syarat.
  • Anak-anak juga dapat mempelajari sikap bertanggungjawab dan serta meningkatkan kemahiran pergaulan dan komunikasi. Mereka belajar untuk memahami kehendak dan keperluan haiwan kesayangan mereka dan mereka berkomunikasi dalam cara unik  yang hanya mereka memahami. Pasti comel kan?

FIZIKAL

  • Anak-anak akan menjadi aktif dan banyak bergerak ketika melayani kerenah si comel. Pergerakan aktif bagus untuk rangsangan otak dan sekaligus meningkatkan daya tahan fizikal dan mental si manja anda.
  • Pasti anak-anak tidak gemarkan persekitaran yang kotor dan busuk untuk kesayangan mereka. Ini akan mendorong mereka untuk belajar melakukan kerja membersihkan najis dan memastikan kebersihan tempat tidur si comel. Pastikan anda membimbing mereka untuk tujuan ini ya.
  •  Kebaikan udara segar dan cahaya matahari awal pagi bagus untuk tumbesaran anak anda. Pastikan mereka berada di bawah cahaya matahari pada waktu yang sesuai untuk bermain bersama haiwan peliharaan di luar rumah seperti di halaman atau di taman.

“Ternyata haiwan peliharaan dapat memberikan kesan yang baik kepada kehidupan anak-anak. Saranan kami : buat keputusan tepat dalam memilih haiwan mana yang akan menjadi peneman anak-anak anda kerana sudah pastinya setiap mereka mempunyai kesukaan yang berbeza. Anak-anak gembira, ibubapa pasti bahagia.”

Jangan lupa kongsikan artikel ini !

Sumber gambar : Pinterest

 

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1