Loading...
Gaya Hidup

Kucing : Hadirnya Mereka Bersama Rezeki

Setiap perkara yang terjadi dalam kehidupan kita adalah suatu ketetapan yang telah direncanakan dengan sempurna, bukan kebetulan. Cuma terpulang kepada kita untuk memahami nilai disebalik setiap kejadian itu.

“Pernahkah anda mengalami peristiwa kucing datang menggesel badannya di kaki anda ketika anda sedang makan ? Dan pada ketika lain kucing datang mengiau meminta makan kerana lapar?”

Kehadiran si manja ini mempunyai banyak tujuan selain dari hanya menagih sedikit makanan mengalas perut. Apakah makna di sebalik kehadiran mereka ini? Apakah yang ingin Tuhan sampaikan kepada kita. Kami kupaskan 5 sebab utama untuk renungan kita bersama.

  1. Rezeki

Dalam setiap bahagian rezeki kita, ada bahagian rezeki orang lain. Kehadiran kucing kepada kita juga merupakan satu petanda bahawa rezeki mereka melalui kita. Mungkin ada yang memandang jelik kucing jalanan- kotor, comot dan jijik. Namun mereka juga makhluk Tuhan yang mahukan kasih sayang tanpa syarat. Berkongsi sedikit rezeki dengan mereka tidak akan menjadikan kita miskin. Malah kita akan berasa puas kerana kita menunaikan tanggungjawab sesama makhluk.

  1. Mendapat pahala sedekah

Sedekah dijanjikan Tuhan dengan 10 kali ganda ganjaran. Sedekah bukan hanya dari segi wang ringgit, harta benda dan tenaga semata, juga bukan hanya sesama insan malahan lebih dari itu. Berkongsi makanan dengan kucing juga adalah satu bentuk sedekah yang diharuskan dan merupakan amalan yang mulia. Banyak testimoni sedekah yang dilakukan dengan ikhlas mendapat ganjaran serta-merta. Bayangkan betapa hebatnya ganjaran disana kelak.

  1. Mengikhlaskan hati dalam melakukan sesuatu

Ikhlas adalah suatu sikap yang sukar dilakukan kerana sebagai manusia, adakalanya kita melakukan sesuatu dengan mengharapkan balasan. Apabila kita memberi makan kepada kucing, tiada balasan tertentu yang boleh kita harapkan melainkan redha Allah. Tarbiah melalui sedekah kepada makhluk bernama kucing ini terlalu tinggi nilainya walaupun kelihatan kecil dan biasa.

  1. Belajar berihsan sesama makhluk

Setiap makhluk mempunyai tingkah laku dan tabiat masing-masing. Ada yang menyenangkan, ada yang menjengkelkan. Dengan memberi makanan kepada kucing, kita belajar memupuk sikap berihsan kepada haiwan. Dengan berihsan, kita mampu mengingati diri kita tentang kewujudan Tuhan dan Tuhan sentiasa hampir dan tidak ada sesuatu yang mampu bersembunyi dari pengetahuanNya. Berihsan juga menjadikan kita melakukan sesuatu atas dasar kemanusiaan, simpati dan kasih sayang sesama makhluk.

  1. Rezeki yang berterusan

Sedekah yang berterusan adalah antara penyebab pintu-pintu rezeki sentiasa terbuka. Apabila kehadiran kucing ini diraikan dengan pemberian makanan yang sewajarnya, peluang bersedekah terbuka luas. Tak kiralah dimana jua mereka muncul, secara sementara di mana-mana atau mereka memilih untuk mendiami rumah kita dan menjadi sebahagian dari keluarga kita. Beruntunglah mereka yang mana rumah mereka didatangi kucing kerana peluang untuk membuka pintu rezeki terbuka luas.

 Berlapang dadalah dengan kehadiran kucing dalam kehidupan kita kerana ini mungkin adalah sebab untuk Allah menurunkan rezeki yang melimpah ruah kepada kita dengan asbab memberi makan kepada kucing berkenaan.Sedekah tidak akan menjadikan kita miskin, malahan rezeki akan sentiasa mengalir laju masuk dari sumber yang tidak disangka-sangka.

“Selalulah berbuat baik sesama makhluk. Dan andai tidak mampu berbuat baik, janganlah berlaku zalim kepada mereka kerana mereka juga makhluk Tuhan.”

Diharapkan perkongsian ini dapat mengubah tanggapan dan perspektif anda tentang kehadiran kucing dan semoga terus dilimpahkan rezeki dengan memberi makan kepada kucing. Kongsikan artikel ini untuk manfaat semua ya.

Sumber asal : kifarahmedia.com

Olahan semula : Anne Ismail

Sumber gambar : Pinterest

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1