Loading...
Haiwan Kesayangan

Fakta Menarik Yang Mungkin Anda Tidak Tahu Mengenai Kucing !

Kucing merupakan peneman yang terbaik. Bukan sahaja mereka comel, mereka juga boleh diharap untuk menangkap tikus atau serangga yang berada di dalam rumah. Kehadiran mereka boleh membuatkan kita hilang stress. Best kan? Fizikal mereka yang kecil menjadi pilihan ramai pemilik haiwan peliharaan.

Kucing domestik (gelaran kepada kucing peliharaan) adalah lebih dikenali sebagai kucing kecil. Ini adalah untuk membezakan mereka dengan singa dan harimau, kerana secara semulajadinya, mereka juga memburu dan ‘kucing besar’ juga mengeluarkan bunyi ‘puurrr’. Mari kita lihat sedikit sejarah tentang haiwan comel ini.

Sejak 4000 tahun yang lalu, kucing sudah mula dijinakkan. Pada zaman Mesir Kuno, masyarakat ketika itu merupakan antara yang terawal menggunakan khidmat kucing untuk mengawal stok makanan dari kutu dan perosak. Mereka juga dianggap sebagai pemburu yang cekap, dan ini menyebabkan haiwan comel ini dipuja dan diangkat sebagai Dewa dan Dewi. Seseorang boleh dihukum mati sekiranya mereka mencederakan atau membunuh kucing ketika zaman itu. Seperti yang popular dengan budaya mereka, kucing juga turut dimumiakan sebelum ditanam sekiranya mereka mati, dan mereka juga dihiaskan dengan barang kemas untuk menunjukkan status kekayaan pemiliknya.

“Pada zaman kegelapan Eropah, kucing juga turut dibela atas sebab yang sama, untuk memelihara stok dan sumber makanan dari serangan perosak. Mereka juga turut dilatih untuk menangkap tikus pada waktu itu. Anehnya, dalam masa yang sama, kucing ditakuti atas beberapa sebab mitos seperti dikaitkan dengan sihir dan ilmu hitam. “

Beberapa versi juga ada mengatakan yang semangat jahat boleh bertukar rupa dengan menjadi seekor kucing hitam. Kerajaan-kerajaan kuno yang lain juga turut berjinak-jinak membela kucing sebagai haiwan peliharaan secara perlahan-lahan, ketika zaman pemerintahan masing-masing. Mereka dibawa ke Itali pada awalnya dan dari situ spesies ini makin berkembang di serata Eropah. Mereka berlayar bersama-sama manusia ke seluruh dunia menaiki kapal laut. Ini menguatkan lagi pendapat tentang bagaimana baka haiwan ini cepat berkembang ke seluruh pelusuk dunia.

Dikatakan bahawa baka kucing berbulu pendek (domestik) mula berkembang dari Mesir, sementara baka kucing berbulu panjang/lebat datangnya dari Turki dan Iran. Baka domestik juga turut berkembang ke China dan Jepun. Ini turut menjelaskan mengapa banyak baka-baka kucing berbulu gebu datangnya dari negara-negara beriklim sejuk. Dari segi kebersihan, kucing dianggap sebagai haiwan yang sangat pembersih. Kucing yang sihat menghabiskan 50% dari waktu sedarnya untuk membersihkan bulu.

“Lidah kucing yang tajam berfungsi untuk membuang bulu-bulu mati mereka yang berlebihan dan kutu atau parasit-parasit lain. Struktur lidah mereka juga adalah sangat bagus untuk menyembuhkan luka.”

Selain daripada itu, ia juga turut meningkatkan peredaran darah dan menaikkan suhu badan mereka. Pemilik juga tidak perlu memandikan kucing mereka terlalu kerap kerana mereka boleh membersihkan diri sendiri dengan sempurna.”

Walau bagaimana pun, pemilik haruslah membersihkan telinga kucing mereka sesekali kerana mereka tidak dapat membersihkan organ itu dengan sendiri. Pastikan juga pasir untuk mereka membuang air sentiasa bersih dan dikemaskan, ini kerana kemungkinan kucing tidak akan membuang air di dalam kotak pasir adalah tinggi sekiranya tempat itu kotor dan busuk. Kucing menggunakan beberapa cara dari fizikal mereka untuk berkomunikasi dengan manusia. Antara cara yang paling senang dan cepat difahami adalah dari gerak geri ekornya. Contohnya, apabila mereka berada di dalam keadaan tegang, keseluruhan ekor mereka akan bergerak kekiri dan kekanan secara laju dan kelihatan tegang. Mereka juga boleh berkomunikasi dari pandangan mata, pergerakan telinga, dan cara mereka menyesuaikan diri apabila berada dekat dengan kita.

“Kucing gemar menunjukkan kuasa mereka dengan cara membuang air di merata tempat (bagi kucing jantan), meninggalkan kesan cakaran ( ada kesan visual dan juga bau), dan juga dengan bergesel di kaki pemiliknya. Aktiviti ini juga boleh meninggalkan bau sebagai peringatan kepada kucing lain. Kucing bersapa sesama mereka dengan cara mencium hidung ke hidung.”

Para pemilik kucing semestinya tahu tentang fakta bahawa kucing menghabiskan masa kira-kira 15jam sehari untuk tidur. Ada yang boleh pergi sehingga 23jam dalam masa satu hari. Jadi, rasa-rasanya kenapa agaknya kucing lebih gemar tidur? Perkara pertama anda perlu tahu adalah kucing akan menjadi sangat aktif dari mula malam hingga ke subuh, ini bermaksud mereka lebih banyak menghabiskan waktu tidur mereka pada waktu siang, dan mula bergerak aktif pada waktu senja. Ini sangat membuktikan kenapa kucing-kucing kita gemar bermain dengan kita ketika kita hendak masuk tidur! Tetapi, apabila mereka selesai dengan sarapan pagi mereka, kucing-kucing ini akan kembali ke tempat tidur mereka semula.

Secara semulajadi, kucing mempunyai fisiologi seekor pemangsa, iaitu mengejar dan memburu terutamanya pada waktu malam. Kucing besar seperti harimau dan singa mempunyai rutin tidur yang seakan sama, iaitu tidur pada waktu siang, dan berjaga pada waktu malam. Walaupun kucing-kucing pada zaman sekarang kebanyakannya telah dijinakkan, mereka masih lagi mengekalkan sifat asal sebagai pemburu mereka. Antara contoh yang sering kita lihat adalah apabila mereka perlahan-lahan menyelinap di dalam bayang-bayang gelap dan secara tiba-tiba dan tanpa amaran, mereka menerkam target secara mengejut. Memburu mangsa memerlukan banyak tenaga, tidak kira samada kucing peliharaan anda memburu mangsa luar rumah atau sekadar bermain dengan soft toy. Dengan itu, kucing memerlukan waktu tidur mereka untuk menyimpan tenaga untuk berlari, melompat, dan memanjat.

Jangka hayat kucing indoor secara amnya adalah sekitar 12-18 tahun. Ini bergantung kepada beberapa faktor seperti baka, diet, dan cara hidup kucing tersebut. Kucing outdoor lebih terdedah kepada trauma seperti dilanggar kenderaan, dikejar anjing, bergaduh dengan kucing yang lain, dan kekurangan zat kerana ketiadaan makanan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya kucing outdoor mempunyai jangka hayat yang lebih pendek dari kucing indoor. Ada beberapa cara untuk memastikan bahawa kucing anda menjadi sihat, antaranya ialah mengenalpasti segala aktiviti tidak normal pada cara dia bermain, makan, dan tidur. Pemilik mestilah memerhati segala perubahan yang berlaku pada kucing peliharaan sekiranya ianya adalah lain dari sifat kebiasaanya. Pemerhatian ini wajar kerana tindakan awal dan pantas dapat diambil sekiranya kucing ada mengalami sebarang masalah.

Banyak fakta menarik bukan? Jangan lupa klik butang LIKE dan SHARE artikel ini dengan rakan-rakan anda. Kami akan menulis lagi tentang si comel kegilaan ramai ini nanti. Tunggu ye !

 

Sumber Imej: Pinterest

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1