Loading...
Tips Penjagaan

SHEDDING : Cara Yang Betul Menguruskan Ular Bersalin Kulit

‘Shedding’ atau bersalin kulit adalah proses normal yang berlaku kepada semua jenis ular , selari dengan pertumbuhan ular secara berperingkat. Kebiasaannya, ianya akan mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk satu kitaran lengkap. Cara menguruskan ular yang sedang melalui proses ini amat penting walaupun ianya adalah satu proses yang biasa dan selalu berlaku. Jom tengok tips dan cara menguruskan ‘shedding’ dengan betul.

• Persekitaran

Persekitaran yang sesuai dan mesra ‘shedding’. Perkara utama yang harus dititkberatkan adalah tahap kelembapan sangkar. Pastikan anda menambah sumber air ; contohnya bekas takungan air bagi meningkatkan tahap kelembapan sangkar. Ini akan memudahkan ular ‘berpisah’ dari kulit lamanya. Jangan teragak-agak untuk merujuk kepada doktor haiwan seandainya berlaku sebarang komplikasi sepanjang proses ini berjalan.

 

Panduan untuk menyediakan persekitaran yang seakan semulajadi

1. Mengenalpasti tanda-tanda awal

Perhatikan tanda-tanda awal sebelum proses ‘shedding’ bermula. Terdapat dua tanda utama yang dapat diperhatikan iaitu ;

• MATA ||| Perhatikan mata ular anda. Mata akan mempunyai seakan-akan selaput putih yang kusam sebelum ular mulai ‘shedding’.

• KULIT ||| Perhatikan juga keadaan semasa kulit ular. Kulit akan mula keruh/pudar sebelum ‘shedding’.

2. Menyediakan kotak / tempat yang sesuai

Suhu dan kelembapan yang sesuai sangat membantu memudahkan proses ‘shedding’ bagi seekor ular. Dengan bantuan dari dua perkara ini, ular akan lebih selesa dan senang untuk bersalin kulit.

• KOTAK ||| Ambil sebuah kotak, contohnya kotak kasut atau apa sahaja kotak dengan saiz yang bersesuaian , dan pastikan ia mempunyai pengudaraan yang baik dengan menebuk lubang di seluruh kotak.

• TISU ||| Letakkan tisu kertas lembap di dalam kotak, yang membolehkan ular mempunyai tempat yang basah untuk ‘shedding’.

3. Memastikan tahap kelembapan sangkar yang optimum

Semasa proses ‘shedding ‘ berlaku, tahap kelembapan sangkar perlulah berada diantara 50-70%. Terdapat beberapa langkah atau cara yang boleh anda cuba untuk mencapai kelembapan sangkar di tahap itu. Antaranya ialah seperti berikut ;

• SEMBURAN ||| Ambil botol semburan dan isi dengan air suam untuk disembur ke badan ular. ‘Shedding’ akan membuatkan ular berasa kering dan kurang selesa. Langkah ini pasti melegakan dan menyenangkan ular berkenaan !

• TAKUNGAN AIR ||| Masukkan takungan air besar ke sangkar. Takungan juga boleh membantu mengekalkan kelembapan di tahap yang diinginkan.

• TERTUTUP ||| Sekiranya anda mempunyai bahagian atas lutsinar pada sangkar, anda boleh melindungi bahagian atas tersebut untuk meningkatkan kelembapan. Adalah penting untuk menutup bahagian yang membolehkan kelembapan sangkar terbebas ke luar.

• SUBSTRAT ||| Cuba gunakan substrat yang boleh mengekalkan kelembapan dan menampung air yang banyak untuk tujuan ini. Antara substrat yang kami cadangkan ialah substrat kulit orkid. Boleh juga menggunakan substrat lain yang bersesuaian.

“Ingat !! Kelembapan adalah kunci utama memudahkan proses ‘shedding’ ini. Sebagai penjaga yang bijak dan prihatin dengan keperluan kesayangan anda, pastikan anda meyediakan persekitaran yang sesuai untuk mereka melalui proses ini dengan baik. Hasilnya pasti mewah- kulit baru yang lebih cantik dan ular kesayangan anda yang gembira!”

Jumpa lagi.

Kredit artikel : Exotic Animal Family
Olahan semula : Anne Ismail

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1