Loading...
Tips Penjagaan

Sugar Glider : Tips Penjagaan Dan Pemakanan

COMEL, lincah dan aktif. Rangkai kata paling tepat yang menggambarkan karakter istimewa haiwan kecil persis tupai yang menjadi kegilaan pencinta  haiwan peliharaan eksotik masa kini. Haiwan berbulu lembut yang manja itu digelar sugar glider sering kali mencuri tumpuan khalayak jika dibawa ke tempat umum. Tidak  hairan jika ada yang datang mengerumuni seolah-olah seperti melihat selebriti.

Sugar Glider atau nama saintifiknya Petaurus Breviceps merupakan  haiwan marsupial kecil yang boleh ditemui di Australia, Tasmania,  Indonesia dan Papua New Guinea. Ia mendapat namanya kerana sifatnya yang menggemari makanan manis dan mempunyai membran peluncur menyamai tupai terbang. Kemasukan haiwan nokturnal ini di Malaysia bermula sekitar awal tahun  2000 dan semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan sejak ia  dipaparkan dalam rancangan dokumentari popular baru-baru ini.

 

“Sugar glider ini merupakan haiwan sosial dan memerlukan pemiliknya meluangkan masa     melayaninya selama tiga hingga empat jam sehari. Jika dibiarkannya tanpa belaian, haiwan ini akan sunyi dan mengalami tekanan yang tinggi dan akhirnya membawa kepada kematian.”

 

PEMILIK sugar glider perlu bersedia dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan pengetahunan tentang diet yang betul dan seimbang.

Jika seseorang pemilik haiwan itu  terlalu sibuk, mereka disarankan membela sepasang sugar glider bagi  mengelakkan haiwan tersebut kesunyian. Jangan anggap memiliki sugar glider ini sebagai satu trend semata-mata kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada penjaganya. Mudah dijaga atau tidak, itu terpulang kepada seseorang individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu rajin, tabah, sabar dan pandai  mengatur jadualnya, maka penjagaan sugar glider ini sudah pasti mudah sahaja.

Buat persediaan awal, sebelum seseorang itu mahu menjadikan sugar glider  sebagai haiwan peliharaan, perkara wajib yang perlu dilakukan ialah  mengumpul maklumat mengenainya terlebih dahulu sebagai persediaan. Selain mempunyai pengetahuan asas tentangnya, seseorang itu perlu  tahu cara memilih sugar glider yang sihat, menyediakan sangkar yang sesuai, kantung tidur, permainan, botol air dan makanan khas.

Haiwan yang unik dari aspek penjagaannya ini mempunyai banyak  variasi warna. Paling lazim dibela orang adalah daripada jenis Classic Grey kerana ia murah dan mampu milik iaitu antara harga RM150 hingga  RM250 seekor. Antara variasi lain sugar glider ialah White Face (RM380), White  Face Blonde (RM700), Ring Tail (RM750), Mosaic (RM850), White  Mosaic (RM1,200), Creameino (RM1,500), Albino (RM1,800) dan Leucistic  (RM1,300).

Tempoh bunting sugar glider mengambil masa selama 16 hari dan apabila  lahir, anaknya akan tinggal di kantung ibunya (In Pouch) kira-kira dua  bulan dan putus susu dua bulan selepas keluar kantung. Anak sugar glider atau dipanggil `Joey’ boleh dipisahkan daripada  ibunya seawal dua bulan selepas keluar dari kantung ibunya (Out Of  Pouch) tetapi sebaik-baiknya pada umur tiga bulan selepas keluar dari  kantung.

Tempoh kematangan seksual bagi sugar glider adalah berbeza tetapi  secara purata, sugar glider betina matang pada umur lapan bulan ke atas  dan sugar glider jantan pada umur empat bulan ke atas. Haiwan yang mempunyai jangka hayat selama 10 hingga 15 tahun itu  membiak dua hingga tiga kali setahun mengikut musim. Ia biasanya  menghasilkan seekor hingga dua ekor anak paling minimum dan empat ekor  paling banyak. HAIWAN eksotik ini aktif pada waktu malam.

 

“Diet yang betul dan seimbang akan membantu Sugar Glider untuk membesar dengan sihat.”

 

Walaupun haiwan ini menyukai makanan yang manis, ia juga mempunyai diet khas yang tersendiri. Pemakanannya harus seimbang dengan mengambil kira nutrisi seperti  protein (30-50 peratus), buah-buahan (20-30 peratus), sayur-sayuran (40  peratus) dan karbohidrat (15 peratus),” Diet tersebut juga boleh dibantu dengan pemberian suplemen wombaroo protein tinggi (HPW). HPW adalah diet yang paling senang untuk disediakan dan ia merupakan  diet yang paling hampir menyerupai pemakanan sugar glider di dalam  hutan. Ramai yang tidak mengambil berat tentang pemakanan sugar  glider sehingga menyebabkan haiwan kesayangan mereka itu sakit dan  menghidapi masalah kesihatan seperti obesiti, katarak, buta, lumpuh kaki  belakang dan jangkitan kuman.


Cara Penjagaan Sugar Glider

1. Sifat Sugar Glider

Sehingga ke hari ini, tiada sebarang sumber atau maklumat sahih yang dapat pastikan mana satu lebih liar  dan sukar dijinakkan. Setiap Sugar Glider punyai  perangai / ragam /  kegemaran / yang berbeza-beza. Ada yang dilahirkan suka makan buah, ada yang dilahirkan tidak suka makan buah. Ada yang suka berguling-guling,  ada yang suka bersendirian. Kerenah mereka ini berbeza-beza. Setiap pemilik sugar glider pasti sukar untuk berjumpa Sugar Glider yang sama perangainya dengan Sugar Glider yang mereka pernah sebelumnya.

2. Sugar Glider tak perlu dimandikan

Sugar glider merupakan haiwan pembersih. Walaupun perilaku suka membuang air merata-rata, mereka akan membersihkan semula badan mereka. Cara yang boleh digunakan untuk memastikan badan Sugar  Glider sentiasa wangi, badan Sugar Glider boleh dilap dengan menggunakan tisu basah sahaja. Penggunaan semburan wangian yang sesuai juga boleh dipraktikkan.

3. Makanan Sugar Glider

Sugar Glider bayi makan  dalam kuantiti yang kecil! Hidangan makanan,  buah-buahan mestilah dalam kuantiti yang kecil untuk mengelakkan pembaziran. Sugar Glider mempunyai perangai yang suka memilih. Mereka lebih cenderung untuk memilih makanan yang lebih segar.  Jika makanan dah lembik dan tak menarik, biasanya ia tidak menjadi pilihan mereka. Contoh : Potong buah betik bentuk sebesar pemadam kecil untuk setiap hidangan sudah mencukupi.

4. Waktu makan sugar glider

Waktu yang paling sesuai untuk menghidang makanan Sugar Glider adalah sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam. Pelbagaikan makanan seperti ayam rebus, telur rebus,  buah-buahan, sayur-sayuran, dan tambahkan palet sebagai makanan tambahan boleh dijadikan hidangan yang lazat dan seimbang untuk Sugar Glider anda.

5. Potong kuku sugar glider

Potong kuku sugar glider anda dan jangan biarkannya panjang. Kuku yang panjang boleh menyebabkan parut-parut kecil pada tangan anda. Sekali pun ia tidak mendatangkan kecederaan besar ia perlu diberi perhatian demi kebersihan dan perapian mereka. Pastikan kuku dipotong dengan betul dan pada bahagian yang sepatutnya bagi mengelakkan kecederaan.

6. Bawa sugar glider jalan-jalan

Jangan biarkan Sugar Glider anda di dalam sangkar sahaja !  Selalulah bawa mereka  berjalan-jalan, selain untuk memberi mereka udara yang segar dah kelapangan fikiran, ia juga membantu mempercepatkan proses keserasian (bonding) dan kemesraan antara sugar glider dan pemilik mereka. Untuk langkah  keselamatan, pastikan sugar glider anda berada dalam pouch bag yang diyakini  selamat dan tak mudah bolos.

 

 “Sugar Glider boleh melepasi zip  yang tertutup !!! Jadi, berhati-hati jika membawa mereka berjalan-jalan. Pastikan zip pouch bag tidak boleh terbuka dengan mudah.”

 

7. Masa untuk Sugar Glider

Sugar Glider  merupakan sejenis haiwan yang manja. Sangat penuh dengan kasih-sayang. Penting untuk semua pemilik Sugar Glider meluangkan masa bersama Sugar Glider mereka. Luangkan masa bersama Sugar Glider setiap hari supaya ia tidak kesepian. Jangka masa yang dicadangkan untuk memastikan Sugar Glider anda sentiasa dalam keadaaan serasi adalah meluangkan masa dengan mereka antara 2 – 4 jam sehari.

8. Manjakan Sugar Glider Anda

Proses untuk memanjakan sugar glider adalah satu proses yang mudah. Jangka masa untuk mereka manja bergantung kepada cara bagaimana kita melayan mereka. Tempoh untuk mereka manja adalah berbeza-beza bergantung kepada karakter dan perangai masing-masing. Usap sugar glider anda setiap hari. Jangan pedulikan gigitan dan kebisingan yang mereka lakukan. Biasanya gigitan tersebut akan bertukar jadi jilatan yang menunjukkan mereka sudah mula untuk menyukai pemilik mereka. Selain itu, pemilik Sugar Glider juga boleh memberi makanan yang enak kepada mereka dengan cara suapan. Cuba dengan memberi yogurt pada kuantiti yang kecil. Apabila mereka mula untuk makan, usap badan dan kepala mereka berulang-ulang kali. Kaedah meletakan baju yang  sudah dipakai ke dalam sangkar Sugar Glider juga dapat membantu mempercepatkan proses penyerasian. Mereka akan biasa dengan bau pemilik mereka dan ini akan membantu untuk membuatkan mereka lebih cepat menyesuaikan diri dan tidak takut dengan kehadiran anda.

Kami berharap, artikel ini dapat membantu pemilik Sugar Glider yang baru berjinak dengan dunia haiwan comel ini. Sayangilah Sugar Glider anda seperti anak anda sendiri. Pastikan mereka mendapat penjagaan yang sepatutnya dan hidup bahagia bersama anda di sana!

Sugar  glider yang mendapat perhatian dan kasih sayang yang penuh dari tuannya adalah Sugar Glider yang gembira dan sejahtera. =)

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1