Loading...
Haiwan Kesayangan

10 Perkara Yang Kamu Perlu Tahu Sebelum Memiliki Sugar Glider

Sugar Glider, haiwan comel yang berasal dari Autralia ini terkenal dengan telatah yang bersahaja dan menghiburkan.

Nah, ada 10 perkara yang kamu perlu tahu sebelum membuat keputusan untuk memelihara mereka. Semoga artikel dapat membantu dalam membuat keputusan tepat untuk memiliki Sugar Glider.

 

1. Sugar Glider adalah haiwan nokturnal

Ya, benar sekali. Sugar Glider adalah haiwan nokturnal ; bermakna mereka berjaga dan lebih aktif di waktu malam. Ini tidak bermakna kamu tidak boleh bermain atau berinteraksi dengan mereka pada waktu siang. Waktu tidur Sugar Glider adalah secara purata 12-14 jam sehari. Jika kamu adalah jenis yang susah tidur, kami cadangkan supaya sangkar Sugar Glider diletak berasingan dan bukan dalam bilik tidur kerana mereka lebih aktif bermain pada waktu malam. Itulah masa untuk mereka berlari, bergayut, melompat, bergaduh manja dan sebagainya.

2. Jangka hayat mereka yang panjang

Secara purata, jangka hayat Sugar Glider adalah sekitar 12-15 tahunlebih kurang sama dengan jangka hayat seekor kucing / anjing. Walaupun jangka hayat Sugar Glider adalah panjang, terbukti berbaloi untuk memelihara mereka kerana kesan kecomelan dan kelincahan mereka kepada emosi penjaga. Anda akan mempunyai teman baik sepanjang hayat.

3. Tidak cukup hanya seekor

Tidak dapat disangkal lagi, tidak akan cukup jika hanya memelihara seekor Sugar Glider ! Hakikat ini diakui oleh hampir kesemua pemilik Suggy. Secara asasnya, Sugar Glider adalah haiwan yang hidup secara koloni atau berkumpulan. Seekor Sugar Glider yang hidup secara bersendirian untuk tempoh tertentu akan cenderung untuk mengalami kemurungan (ya, kemurungan!), mula memencilkan diri, enggan makan, tidak mahu bermain dan sebagainya. Dicadangkan agar bermula dengan sepasang Sugar Glider supaya mereka mempunyai teman bermain. Kerana sebanyak mana pun sentuhan dan perhatian manusia, mereka lebih memerlukan teman dari spesis yang sama. Mana boleh hidup bersendirian, kan?

4. Mempunyai keperluan nutrisi yang khusus

Seperti namanya, Sugar Glider amat menggemari makanan yang manis. Jika diberi pilihan, mereka akan makan yang manis sahaja. Walaubagaimana pun, Sugar Glider memerlukan diet yang seimbang yang terdiri dari sumber protein, buah dan sayur. Kegagalan pengambilan diet seimbang boleh mengakibatkan gangguan kesihatan seperti air kencing yang berbau busuk dan kelumpuhan kaki belakang mereka. Jaga diet mereka sebaiknya ya.

Sumber gambar : Pinterest

5. Mereka memerlukan persekitaran yang memberangsangkan

Disebabkan sifat semulajadi Sugar Glider yang aktif, mereka mudah berasa bosan dalam persekitaran yang suram. Oleh itu, mustahak untuk menyediakan tempat yang sesuai dan kondusif agar mereka bebas bermain dan melakukan aktiviti mereka. Permainan wajib ada yang kami sarankan; roda senaman. Jenis permainan ini juga boleh dipelbagaikan mengikut keperluan dan bajet kamu memandangkan banyak pilihan dalam pasaran. Malah, boleh cipta permainan sendiri jika kamu kreatif !

6. Memerlukan veterinar khusus untuk merawat mereka

Kebanyakan veterinar biasa TIDAK mempunyai kepakaran untuk merawat haiwan eksotik. Jadi, pastikan kamu membuat sedikit tinjauan dan kaji selidik tentang lokasi veterinar khusus ini agar senang untuk mendapatkan rawatan seandainya diperlukan. Kos rawatan untuk Sugar Glider mungkin lebih berbanding haiwan peliharaan domestik lain, jadi pastikan sentiasa ada peruntukan untuk tujuan ini.
NOTA : Jimatkan wang anda dengan penjagaan yang baik, mungkin tidak perlu untuk berjumpa veterinar pun.

7. Mereka akan mengambil masa untuk menjadi mesra

Antara kesalahan tanggapan umum tentang si comel ini adalah mereka akan menjadi mesra dalam sedikit masa dan hanya usaha yang sedikit diperlukan. Hakikatnya, Sugar Glider adalah seperti haiwan eksotik yang lain, mereka MEMERLUKAN MASA untuk membina kepercayaan dan menjadi mesra dengan manusia. Proses ini adalah perlahan ; boleh jadi ianya mengambil masa berminggu-minggu hingga bertahun, bergantung kepada cara kamu menangani situasi berkenaan. Apa yang penting adalah KESABARAN dan tidak mendesak. “Biar lambat asalkan berjaya.” ?

8. Memiliki Sugar Glider secara sah

Di Malaysia, Sugar Glider boleh dimiliki secara sah TANPA memerlukan lesen khas. Terdapat beberapa negara di dunia yang tidak membenarkan pemilikan Sugar Glider secara peribadi. Hargai keistimewaan ini dan jaga Sugar Glider sebaiknya ya.

9. Asingkan Sugar Glider dari haiwan yang lain

Percayalah, sejauh mana pun kamu merasakan ianya baik untuk mewujudkan hubungan baik antara Sugar Glider dengan haiwan peliharaan yang lain, ianya adalah idea yang tidak baik !! Realitinya, situasi ini boleh membahayakan Sugar Glider. Kepantasan dan kelincahan mereka bergerak akan menarik perhatian haiwan yang lebih besar untuk menjadi pemangsa. Gigitan kecil dari haiwan yang lebih besar boleh membawa maut kepada Sugar Glider kerana mereka adalah kecil dan lemah. Dari sudut lain, Sugar Glider mampu membunuh haiwan yang lebih kecil daripadanya seperti hamster, burung dan lain-lain. Jalan paling selamat adalah mengasingkan mereka dari yang lain.

10. Amaran ketagihan !!

Selain faktor kos penjagaan Sugar Glider yang jauh lebih RENDAH berbanding kucing / anjing , mereka adalah haiwan peliharaan yang comel, menghiburkan dan mencuit hati. Semakin banyak masa yang kamu luangkan bersama mereka, semakin akrab hubungan itu dan kamu akan dapat melihat kemanjaan Sugar Glider yang sebenar. Setiap usaha dan kesabaran kamu melayani mereka pasti akan membuahkan hasil yang BERBALOI. Proses menjaga mereka juga menjadi mudah apabila kamu telah mampu membiasakan diri melakukannya. Pasti seronok dan mengujakan apabila kamu langsung tidak boleh berenggang dengan mereka, dan menghitung setiap masa untuk kembali ke rumah dan bersama mereka.

Semoga tips-tips yang diberikan memudahkan kamu membuat keputusan untuk membela si cilik yang comel ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini dengan semua!

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1