Loading...
Haiwan Kesayangan

Iguana – Si Manja Berwajah Garang

Iguana adalah sejenis cicak herbivor yang berasal dari kawasan tropika Mexico, Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Caribbean. Iguana yang diimport masuk ke Malaysia pula, kebanyakkannya berasal dari Columbus, El Salvador, Hoduras, Peru dan Mexico.  Bayi iguana  berukuran sekitar 25 – 30cm, sedangkan iguana dewasa boleh mencapai sehingga 1.8 meter – 2 meter panjang  jika dijaga dengan baik serta boleh mencapai usia 15 – 20 tahun!

Nama Iguana berasal dari kata “Iwana” yang merupakan nama tempatan cicak tersebut dalam bahasa suku Taino.  Semua jenis iguana tidak kira jantan atau betina, mempunyai duri di atas badan hingga ke ekornya. Walaupun lebih dikenali dengan warna hijau, namun kini lebih banyak pilihan warna seperti merah, kuning, biru dan albino diperkenalkan sebagai pilihan untuk penggemar iguana.

Iguana memiliki sepasang mata yang bekerja sangat baik untuk melihat pergerakan, warna keliling, bayangan dan dapat melihat objek pada jarak yang jauh. Mata iguana juga digunakan sebagai alat berkomunikasi sesama mereka. Iguana mendapat rangsangan yang tinggi dari visual berwarna kuning, merah, jingga dan biru kerana warna tersebut berkait dengan warna makanan harian mereka.

Iguana juga memiliki sepasang telinga kecil berupa “timpanium”. Selubung ‘timpanium’ tersebut merupakan bahagian luar telinga iguana yang terletak di belakang mata. Ianya merupakan bahagian kulit iguana yang nipis dan lembut, berfungsi untuk menghantar getaran gelombang suara.

“Iguana ialah haiwan yang membiak dengan cara  bertelur dan mengambil masa 90 – 120 hari untuk menetas”

 

Iguana menjadi kegilaan ramai peminat haiwan eksotik kerana keunikannya. Walaupun boleh mencapai ukuran 6 kaki panjang apabila menginjak dewasa, Iguana sebenarnya amat manja dan tidak agresif melainkan berasa terancam. Situasi ini dapat dielakkan jika Iguana dipelihara sejak kecil dan dilatih untuk mengenali siapa penjaganya.

Walaupun tugas menjinakkan Iguana adalah mencabar, namun ramai pemilik mengakui berbaloi kesabaran mereka dengan hasilnya. Proses ini akan mengambil masa dan skil tertentu, perlu dilakukan setiap hari untuk mula mewujudkan kepercayaan dan kemesraan Iguana dengan penjaganya. Beri masa yang cukup untuk Iguana anda menyesuaikan diri dengan tempat baru dan bantu mereka mengenali anda ya. Pelihara Iguana dari kecil, kerana Iguana kecil lebih mudah dilatih berbanding Iguana dewasa.

“Apabila iguana sudah mendapat kepercayaan dari kita, iguana tidak akan lari jika diletakkan di atas bahu dan sekiranya kita membawanya keluar dari rumah, cuma perlu berhati-hati jika ada orang asing yang belum mendapat kepercayaan darinya yang ingin menyentuhnya”

 

Fizikal Iguana adalah sangat unik kerana mereka mempunyai ciri khas  seperti gigi dan kuku yang tajam untuk tujuan perlindungan diri mereka.  Ekor juga adalah salah satu anggota pertahanan diri yang sering digunakan Iguana untuk melibas musuh seandainya berasa tidak selamat. Namun, tak perlu khuatir kerana Iguana jarang bertindak agresif dengan manusia yang dikenali mereka. Malah, mereka sangat manja dan tidak akan mencederakan kamu tanpa sebab.

Sebagai peringatan , Iguana mudah stres terhadap suhu dan gangguan. Mungkin kamu tidak sabar ingin bermain-main dengan iguana kamu itu. Lebih-lebih lagi iguana yang baru dibeli dan baru mengenali tempat yang asing baginya. Jangan tergopoh-gapah kerana ini cara yang salah “berkenalan” dengan iguana baru, lagi-lagi baby iguana.

“Jika kamu baru sahaja membeli seekor iguana, beri iguana kamu masa 2 minggu untuk menetap dan mengenali tempat baru dan asing baginya itu sebelum proses menjinakkan”

 

Buat jadual harian untuk memberi makanan, pembersihan dan lain-lain lagi. Rutin harian boleh membuatkan iguana boleh meramal dan merasa selamat di sekelilingnya. Kamu cuba untuk berinteraksi dengan iguana anda sebagai rutin harian dan letakkan sangkar di mana dia boleh mengamati kamu melakukan kerja harian. Ini membolehkannya sedar dengan kehadiran kamu dan selalu membuatkan ia cepat mengenali kamu. Luangkan masa dengan memerhati dan “bercakap” dengan iguana. Berinya nama supaya ia dapat mengiktiraf dirinya.

Kemudian letakkan tangan di dalam sangkar dan cuba mendekatinya. Lakukan dari tepi tetapi jangan dari atas kerana ia akan menganggap sebagai ancaman. Jika iguana membuat postur agresif dan dalam keadaan panik, mundur seketika dan cuba lagi, sambil “berbisik” dengannya secara lemah lembut. Pastikan gerakan kamu perlahan dan gemalai. Jika kamu berhenti mencuba secara tiba-tiba, iguana menganggap kamu sedang melatihnya! Ulang langkah ini sehingga kamu boleh memegang iguana dengan tangan kamu.

Jika ia masih kecil, kamu hanya mangambilnya dari bawah perut, tetapi jika besar, kamu mesti menyokong bawah perut dan pinggul (bawah perut dan atas ekor). Sebelum itu, pastikan bilik kamu selamat. Tiada ruang kecil yang boleh menyebabkan iguana menyorok dan tempat yang boleh dipanjat seperti langsir. Hati-hati! Jika tidak, kamu perlu mengejar untuk mendapatkannya semula. Jangan meletakkannya dalam sangkar selagi iguana belum berasa tenang. Tenangkannya dan ‘bercakap’ dengannya dengan perlahan sambil meletakkannya di bawah.

“Jangan sesekali memegang ekor kerana Iguana boleh memutuskan ekornya sebagai pertahanan!”

 

Jika iguana sudah menerima cara kamu mengendalinya, kamu menerima lebih banyak tindakbalas darinya. Tetapi jika bahasa isyarat atau tubuh menunjukkan ketegangan atau tidak selesa, kamu perlu menghormatinya. Kamu perlu cuba lagi pada waktu yang lain. Beri iguana kamu masa untuk menyesuaikan diri. Hasilnya? Pasti puas hati.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda. Jangan lupa klik Like dan Share yang untuk pengetahuan bersama. Jumpa lagi !

 

Kongsi Artikel
Pilihan Editor
Slow Loris by PETSARECUTE
Gekko BY PETSARECUTE 1