Kenali Marmoset, Monyet Terkecil Di Dunia

Kita biasa melihat monyet liar di kawasan-kawasan riadah di serata Malaysia. Misalnya Bukit Malawati di Kuala Selangor, ramai pelancong dan pengunjung tempatan memberikan makanan kepada monyet-monyet liar yang terdapat di situ. Namun sekian banyak spesis-spesis monyet liar yang berkeliaran itu, tiada satu pun yang menyerupai seperti monyet kecil comel yang menjadi kegilaan ramai peminat haiwan eksotik yang satu ini. Marmoset nama diberi.

Marmoset adalah sejenis monyet yang berasal dari hutan hujan tropika di Amerika Selatan. Monyet kecil ini mempunyai lebih 20 spesis tetapi yang paling dikenali adalah ‘Marmoset’ biasa dan ‘Pygmy Marmoset’.

Marmoset juga mempunyai warna yang pelbagai. Ada yang berwarna hitam atau coklat hinggalah yang berwarna putih dan oren. Bulu Marmoset sangat lembut dan lazimnya mempunyai bulu di sekeliling muka yang seakan-akan jambang.

Habitat asal pula di atas kanopi pokok dan mempunyai sifat yang mirip seperti tupai. Walaupun ekornya lebih panjang daripada badannya sendiri, ia tidak dapat menampung berat badan seperti monyet biasa.

Sebaliknya, Marmoset hanya menggunakan ekor mereka untuk sesi pengimbangan badan semasa berjalan di atas pokok.

‘Pygmy Marmoset’ pula adalah monyet yang paling kecil di dunia. Ia juga yang terkecil sekali dalam keluarga Marmoset. Dengan saiz yang hanya sebesar jari manusia, ramai yang mengidamkan Marmoset sebagai haiwan peliharaan kesayangan mereka.

Marmoset by PETSARECUTE 3
Kaki dan tangan Marmoset berbentuk seperti tupai, lengkap dengan kuku yang tajam kecuali pada ibu jari.

Pun begitu, walaupun undang-undang di Malaysia membenarkan pemeliharaan Marmoset, pemilik marmoset harus memiliki lesen untuk memeliharanya. Ini kerana Marmoset adalah haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Kebiasaannya, penjual haiwan eksotik yang bertauliah akan menjual Marmoset lengkap dengan resit lesen.

Namun harus selalu hati-hati kerana terdapat juga beberapa baka Marmoset yang dilindungi sepenuhnya oleh akta itu tadi.

Misalnya, ‘Marmoset Goeldi’ yang memerlukan lesen dan permit khas untuk memelihara.

Apa-apa pun, kita kiranya sangat bertuah kerana iklim Malaysia sangat sesuai untuk membela Marmoset. Marmoset tidak dibenarkan untuk dipelihara di mana-mana bahagian negara yang beriklim sejuk kerana Marmoset tidak sesuai dengan cuaca dingin di sana.

Marmoset turut tersenarai dalam kategori haiwan liar yang dilindungi di hampir semua negara (termasuk Malaysia). Namun Marmoset belum lagi memasuki kategori haiwan yang hampir pupus/terancam kerana Marmoset liar masih lagi banyak bilangannya.

GAYA HIDUP SEEKOR MARMOSET

Seperti manusia, Marmoset aktif ketika siang dan tidur menjelang malam. Marmoset liar yang masih hidup di habitat semulajadi, biasanya menghabiskan waktu siang mereka dengan mencari makanan.

Mereka hidup secara berkumpulan dan sangat menjaga sempadan kawasan. Satu koloni Marmoset biasanya terdiri antara 9-15 ekor. Dalam satu koloni tidak semua Marmoset boleh mengawan.

Selalunya, dua ekor Marmoset betina akan menjadi induk utama dan lebih terlihat dominan berbanding yang lain. Induk utama akan membiak manakala ahli-ahli yang lain pula bertanggungjawab menjaga ahli-ahli yang kecil.

Bayi Marmoset bergayut pada ibunya sehingga berusia 2 minggu

Marmoset betina akan melahirkan sepasang anak bagi setiap kelahiran. Uniknya, Marmoset sangat berbeza dengan haiwan-haiwan mamalia yang lain, yang selalunya hanya melahirkan seekor anak pada satu-satu masa.

Selepas melahirkan, bayi Marmoset bergayut dan tidak akan melepaskan ibunya sehingga berusia dua minggu. Demikian, ibu betina induk itu tadi akan mengalami stres gara-gara terbeban dengan keperluan sepasang bayinya itu yang selalu berpaut dan perlu menyusu.

Oleh itu, betina induk yang satu lagilah yang akan memainkan peranan dengan membantu dan menyusukan bayi Marmoset. Ahli-ahli lain pula akan turut menjaga bayi Marmoset tersebut. Marmoset akan dewasa pada usia 15 bulan tetapi tidak akan mengawan sehinggalah menjadi induk yang dominan.

Lazimnya, Marmoset adalah haiwan monogami, bermakna mereka tidak akan bertukar-tukar pasangan. Mereka juga tergolong dalam kategori omnivor – pemakan daging dan tumbuhan. Marmoset liar memakan buah-buahan, bijian dan bunga, juga katak, telur dan serangga kecil.

TIP MEMBELA MARMOSET SEBAGAI HAIWAN PELIHARAAN

Terdapat banyak kontroversi yang melibatkan Marmoset sebagai haiwan peliharaan. Ramai pencinta alam yang tidak bersetuju ia dijinakkan atau dibela di rumah seperti haiwan domestik yang lain. Mereka berkata Marmoset lebih sesuai hidup di habitat asal tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, jangan terpedaya dengan penampilan Marmoset yang kelihatan mudah dijaga. Marmoset sebenarnya adalah haiwan yang agak cerewet dan lekas bosan. Mereka tak boleh dibela bersendirian kerana sejak azali Marmoset adalah haiwan sosial yang hidup secara berkumpulan.

Tambahan lagi, Marmoset juga mempunyai jangka hidup yang lama. Purata kehidupan mereka mencecah sehingga 18 tahun. Ini bermakna membela Marmoset memerlukan komitmen dalam jangka lama yang tinggi. Membela Marmoset juga memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti.

Terdapat banyak cerita yang mengisahkan tentang duka Marmoset yang dibela sebagai haiwan peliharaan. Lebih menyedihkan, ada yang mati sebaik sahaja diselamatkan kerana memiliki komplikasi atau penyakit akibat tidak dijaga dengan baik oleh pemilik asal.

Hal pilu seperti inilah yang menjadi alasan buat pencinta alam supaya memboikot pengambilan Marmoset sebagai haiwan peliharaan. Selalunya Marmoset yang malang ini mendapat tuan yang tidak memahami cara dan etika penjagaan Marmoset yang betul.

Seperti yang diperkatakan sebelum ini, Marmoset tergolong haiwan omnivor, di mana diet pemakanannya harus pelbagai dan seimbang. Oleh kerana saiz yang kecil, sesetengah pemilik menjaga Marmoset seperti menjaga bayi. Termasuklah memberi mereka makan seperti bayi. Ini menyebabkan ia kekurangan zat.

Ada juga pemilik yang tidak menyediakan tempat tinggal yang sewajarnya. Walaupun bersaiz kecil, sangkar Marmoset perlu mempunyai ruang yang lebih besar. Kesemua kriteria ini menjadikan Marmoset sebagai antara haiwan yang sangat kompleks dan mahal untuk dibela.

Sumber Imej: www.bing.com

Kalau boleh, pemilik harus mendapatkan maklumat tentang cara membela Marmoset dengan betul daripada penjual haiwan eksotik itu sendiri. Marmoset adalah haiwan eksotik yang cerdik dan keletahnya yang sangat comel. Sangat sesuai menjadi peneman kamu di rumah.

Marmoset yang sudah biasa dengan kehadiran manusia sangat jinak dan manja. Jika dibela dari kecil, ia kenal dan sangat rapat dengan tuannya. Ia akan ‘mengamuk’ jika diabaikan. Marmoset memerlukan teman sepanjang masa.

Kerana itu Marmoset sering dijual berpasangan, tetapi tidak bermakna pemilik boleh meninggalkan Marmoset untuk tempoh yang lama. Marmoset adalah haiwan yang sukakan perhatian. Jika tidak diberi perhatian secukupnya, mereka boleh ‘menggigit’ tuannya sendiri.

Perkara asas lain jika ingin membela Marmoset ialah kamu perlu menyediakan sangkar yang luas. Kemudian hiaskan menyerupai habitat asal. Penting bagi pemilik untuk mengubah keadaan dalam sangkar supaya Marmoset tidak cepat bosan.

Sangkar perlu dibersihkan setiap minggu secara berperingkat kerana Marmoset sering menanda kawasan mereka tinggal. Mereka menandai kawasan dengan menggosok punggung pada sekitar pokok atau bahagian dalam sangkar.

Marmoset juga boleh dilatih membuang ‘hajat’ di tempat yang telah dikhaskan. Sangkar yang luas memerlukan kos yang tinggi. Ini membuat Marmoset sebagai haiwan peliharaan yang sangat mahal. Belum lagi termasuk harga seekor yang boleh mencecah sehingga ribuan Ringgit.

Jika memasang niat untuk membela, pastikan kamu memahami dahulu komitmen dan tanggungjawab menjaga. Jangan hanya kerana mengikut trend, kamu mampu membeli marmoset tetapi tidak mampu mengeluarkan wang untuk penjagaan yang sewajarnya.