Haiwan Peliharaan Pengganti Hiburan

Memiliki haiwan peliharaan sememangnya terbukti dapat menurunan kadar stres seseorang. Haiwan seperti kucing, anjing, hamster dan  juga gekko adalah empat contoh haiwan peliharaan yang popular dan menjadi pilihan ramai.

Ada sebab mengapa sesetengah orang memilih untuk membela haiwan peliharaan dan menjadikan ia sebahagian dari kehidupan. Malahan ada juga yang menganggap mereka seperti ahli keluarga sendiri. Namun tidak semua boleh menjadi pemilik yang baik. Jadi, ketahui serba sedikit tentang ilmu-ilmu asas dalam penjagaan haiwan peliharaan. Mereka sihat dan aktif, anda pun gembira.

haiwan peliharaan by PETSARECUTE 2

Pada amnya, hiburan manusia sangat kompleks. Sesetengah daripada kita mendapati hiburan mesti berunsurkan libur, bercuti, menari, muzik dan sebagainya. Sebahagian lagi pula memandang hiburan dari segi yang sangat sederhana. Bagi pencinta haiwan, haiwan peliharaan merekalah sumber hiburan.

Siapa tak suka dan geram apabila disambut oleh haiwan peliharaan yang comel dan suka bergolek-golek di depan pintu ketika pulang dari kerja?

Dengan ini sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati si pemilik, secara langsung menggembirakan mereka. Beberapa minit mengusap kepala seekor kucing dapat meningkatan produksi hormon Serotonin dan Oxytocin, dua hormon kimia yang meningkatkan rasa tenang dan tenteram pada pemilik. Selain daripada itu, membelai mereka juga dapat merendahkan hormon Kortisol, hormon utama yang menghadirkan stres kepada manusia. Tak rugi kan bermanja dengan kucing-kucing kita?

Ada juga pemilik yang memilih untuk menyertai pertandingan dan kelas-kelas berdikari (kebanyakkannya adalah untuk anjing) untuk haiwan peliharaan mereka sebagai salah satu cara mereka berinteraksi dengan lebih baik dengan haiwan peliharaan mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat membaiki hubungan antara pemilik dengan haiwan peliharaan mereka. Semestinya haiwan seperti anjing sukakan aktiviti-aktiviti luar (outdoor).

Dengan membawa mereka berjalan, bermain atau menyertai pertandingan, juga dapat membuatkan kita lebih bersosial dengan pemilik-pemilik haiwan yang lain. Banyak informasi dapat dikongsikan bersama. Kita semua tahu sebagai pemilik kucing, tidak semua kucing sukakan aktiviti luar. Kebanyakan kucing lebih sukakan aktiviti-aktiviti bermain di dalam rumah sahaja. Pun begitu, sekali sekala bawalah kucing kamu pergi bersiar-siar di taman untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar.

Seperti yang kita lihat sekarang, semakin banyak kafe-kafe mesra haiwan ditawarkan untuk orang awam. Kafe-kafe seperti “Si Tompok Kafe”, “Catsignature Café” dan “Purradise Cat Café” adalah antara dari contoh kafe yang wajib dikunjungi para pencinta kucing. Dengan cara ini, mereka memberi peluang kepada pencinta kucing untuk datang menghiburkan hati sambil melepak dan bermain dengan kucing-kucing di dalam kafe tersebut.

Rasanya, tidak semua pencinta haiwan berkesempatan untuk membela kucing atau haiwan-haiwan peliharaan yang lain kerana beberapa faktor seperti masa, tiada keyakinan untuk menjaga dan faktor kewangan. Ada juga yang tidak dapat membela atas faktor kesihatan (misalnya alahan).

Dengan wujudnya kafe-kafe seperti ini, para pencinta haiwan berpeluang menghiburkan hati masing-masing tanpa perlu memikirkan tentang komitmen yang lain. Sesetengah kafe hanya menawarkan perkhidmatan minuman kerana bau makanan boleh menarik minat kucing-kucing yang berada di dalam kafe tersebut.

Mari kita lihat contoh-contoh dari luar negara, masyarakat di sana lebih terbuka dengan konsep membela haiwan peliharaan. Pemilik di sana lebih menghayati dan menghargai kehadiran haiwan-haiwan peliharaan mereka. Mungkin kerana pendedahan yang secukupnya telah diberikan sejak mereka kecil.

Seperti yang kita tahu, tekanan hidup di beberapa negara luar adalah lebih ekstrim daripada negara kita. Kehadiran haiwan-haiwan peliharaan di rumah sudah cukup untuk membuatkan mereka lebih relaks selepas waktu kerja. Ada yang lebih selesa untuk pulang ke rumah dan menonton TV bersama anjing atau kucing peliharaan mereka dari pergi melepak dan minum bersama rakan-rakan taulan.

Itulah hiburan bagi mereka. Beberapa minit bermain-main dengan haiwan peliharaan masing-masing sudah cukup untuk membuatkan para pemilik tersenyum gembira sebagai tanda mereka terhibur dengan kehadiran dan gelagat haiwan peliharaan mereka dan di sini lah peranan haiwan peliharaan sangat penting bagi memastikan pemilik mereka rasa disayangi dan saling melengkapi.

Membela haiwan peliharaan juga dapat membuatkan kita kekal sihat. Ini kerana ia dapat mengurangkan faktor-faktor penyakit kardiovaskular. Misalnya tekanan darah rendah, kolestrol rendah dan mengurangkan kemungkinan mengalami obesiti. Jadi, rajin-rajinlah bermain-main dan bergerak dengan anak bulu anda sebagai pengganti aktiviti lain di masa senggang.

Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada haiwan peliharaan, malah lebih memberi manfaat kepada kamu sebagai pemilik.