Sengsara Di Sebalik Wajah Comel Slow Loris

Pemilikan haiwan liar sebagai haiwan peliharaan domestik telah berleluasa sejak beradab dulu lagi. Pilihan masa kini nampaknya telah beralih kepada haiwan-haiwan eksotik seperti kucing hutan, musang pandan, memerang, Dusky Monkey dan juga tidak ketinggalan, Slow Loris.

Slow Loris by PETSARECUTE 1
Wajah Slow Loris yang comel membuatkan mereka menjadi kegilaan ramai peminat haiwan di dunia.

Slow Loris atau kongkang merupakan salah satu haiwan liar yang telah dijadikan haiwan peliharaan di rumah. Ia merupakan haiwan dari spesis mamalia yang dikategorikan dalam keluarga primat kecil. Slow Loris disifatkan sebagai haiwan yang pemalu kerana perilakunya yang santun dan pergerakannya yang agak perlahan.

Slow Loris mempunyai mata yang besar dan bulu yang sangat lembut serta wajah yang comel membuatkan mereka menjadi kegilaan ramai. Namun, tahukah kamu Slow Loris merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ?

Slow Loris dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dimana jika didapati menyimpan atau memiliki Slow Loris hidup tanpa permit, pemilik boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi daripada RM100,000 atau penjara selama 3 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Adakah berbaloi untuk berhabisan ratusan ribu Ringgit? Semata-mata untuk menebus kesalahan yang boleh dihindari dari awal, jika pengetahuan tentang pemilikan Slow Loris berada di tahap yang lebih tinggi?

Selain daripada itu, tahukah kamu bagaimana proses pendomestikan Slow Loris yang dilakukan oleh pedagang-pedagang haiwan liar haram? Di sebalik wajah comel Slow Loris, tersembunyi kisah kesengsaraan yang mereka hadapi semata-mata bagi memenuhi kehendak kita. Jom lihat video di bawah yang sangat menyentuh hati. Hentikan pemilikan, hentikan kesengsaraan.

Kongsi video ini dan bantu kami sampaikan mesej penindasan Slow Loris kepada rakan-rakan yang lain.

Sumber: ticklingistortorture.org