Gekko: Spesis Cicak Comel Yang Kamu Harus Tahu

TAKU? GELI? Jika kamu teruskan membaca artikel ini, perasaan kamu terhadap spesis cicak kecil ini juga bakal berubah kagum! Ya, kagum dengan keunikan dan kelebihan Gekko.

Gekko hidup di seluruh lokasi dunia yang beriklim panas. Ia salah satu spesis cicak dan terdapat kira-kira 2,000 jenis Gekko di dunia. Kebanyakan Gekko mencapai 3 hingga 15 cm (1.2 – 6 inci) panjang.

Kenapa harus ambil tahu pasal Gekko? Manalah tahu jika terjumpa Gekko di bilik tidur, kamu tidak perlu takut sebab Gekko bukanlah haiwan yang merbahaya.

Ramai yang menjadikan Gekko sebagai haiwan peliharaan tau!

KECIL-KECIL CILI PADI, INI KELEBIHAN GEKKO

Jari kaki yang berfungsi seperti pita pelekat? Benar, jari kaki seekor Gekko mempunyai bulu-bulu halus yang tidak melekit tetapi mampu melekat dimana-mana permukaan. Penglihatan Gekko terhadap cahaya 350 kali lebih sensitif daripada penglihatan manusia.

Ini kerana Gekko tergolong dalam kalangan spesis “nocturnal”, iaitu haiwan yang lebih aktif pada waktu malam. Optik dan sel kon mata yang besar merupakan sebab utama mengapa ia mampu melihat dengan jelas pada waktu malam.

Jangan terkejut jika kamu terdengar pelbagai bunyi haiwan yang datang dari seekor Gekko. Ini kerana Gekko adalah haiwan yang boleh berkomunikasi menggunakan pelbagai bentuk bunyi. Contohnya, menyalak seperti anjing, berkicau seperti burung dan banyak lagi.

Apabila tiba musim mengawan, Gekko jantan akan berbunyi dengan nyaring dan kuat. Tujuannya adalah untuk memberi amaran kepada pesaing dan dalam masa sama mengelak dari berlaku sebarang pergaduhan serta menarik perhatian si betina.

CICAK AKAN MEMUTUSKAN EKORNYA JIKA BERASA TERANCAM
DAN MAMPU MENUMBUHKANNYA KEMBALI

Fakta yang sama terpakai pada Gekko. Ia akan memutuskan ekornya jika merasa diri dalam bahaya atau stres. Tapi tahukah anda, Gekko juga menyimpan nutritisi makanan pada ekornya untuk persediaan darurat?

Jangka hayat hidup bagi seekor Gekko (bergantung pada jenis) sekurang-kurangnya 5 tahun. Terdapat jenis yang mampu hidup sehingga 10-20 tahun lamanya. Perasan tak? Gekko tidak memiliki kelopak mata dan tidak berkelip. Oleh itu, ia mengguna lidahnya untuk membersihkan bebola matanya sendiri.

Panjang juga lidah Gekko ini ya?

Walaupun tanpa melihat, Gekko juga mampu berubah menyerupai keadaan sekelilingnya seperti sesumpah konvensional. Hebat bukan? Memang sukar untuk mengesan haiwan ini jika ia mula menyamar seperti batu, daun, pasir dan macam-macam lagi.

ERA KINI Ramai yang menjadikan Gekko sebagai haiwan peliharaan di rumah. Spesis Gekko yang paling terkenal sebagai haiwan peliharaan ialah “Leapard Gecko”. Corak berbintik yang seakan harimau bintang menjadikan ia unik dan menarik perhatian. Jenis ini juga senang dijinakkan dan mudah dijaga.

Namun kamu harus tahu, tumbuh-tumbuhan atau sayur-sayuran bukanlah makanan Gekko. Makanan utama Gekko ialah serangga- serangga hidup. Makanan tambahan pula seperti cacing ataupun cengkerik. Kesemua serangga mesti diberi diet atau pemakanan berkhasiat sekurang-kurangnya 12 jam sebelum dijadikan mangsa kepada Gekko kamu.

Walau apa pun, kamu perlu mengambil tahu dengan lebih terperinci tentang serba-serbi pengetahuan asas sebelum menjadikan Gekko sebagai haiwan peliharaan. Keperluan dan penjagaan Gekko berbeza mengikut spesies yang kamu pilih.

Arrow
Arrow
ArrowArrow
Slider